Tuesday 19 February 2013

Penggunaan Komputer di Peringkat Awal Kanak-Kanak

Sumber sebenar - Little Vanilla Kids

Kanak-Kanak boleh didedahkan kepada komputer daripada kecil lagi. Terdapat bukti penyelidikan yang menunjukkan kanak-kanak berumur dua tahun boleh mula didedahkan kepada komputer (Rohani, Sin, Cheah & Rosazizi, 2003; Webb dan Rowe, 1995). Menurut Dodge  dan Colker (1988), penggunaan komputer di kalangan kanak-kanak berkembang dalam mengikut peringkat :

  1. Permainan Berfungsi
  2. Permainan sebab-musabab
  3. Permainan Berperaturan
Pada peringkat permainan berfungsi, kanak-kanak memerlukan banyak bantuan orang dewasa ketika mengguna komputer. Ketika ini, mereka meneroka, menguji dan mengenal ciri-ciri yang terdapat pada komputer. Ketika berdepan dengan komputer mereka akan tertarik dengan apa yang berlaku apabila mereka membuat sesuatu pada komputer. Mereka berpuas hati dengan tindak balas memerhati apa yang berlaku sekiranya bahagian daripada komputer disentuh. Pada peringkat ini, kanak-kanak boleh diajar berkenaan; bahagian komputer serta cara menggunakan komputer. Selain itu, mereka hendaklah diajar cara menggunakan komputer dengan betul dan selamat. Mereka boleh diajar ;
  • Bersabar menunggu ketika membuka komputer, sehingga komputer sedia untuk digunakan
  • Cara memegang disket ataupun CD
  • Cara menyimpan disket ataupun CD supaya tidak rosak
Benarkan kanak-kanak menggunakan perisian yang menggalakkan perkembangan kemahiran mereka dalam menggunakan bahagian tersebut di atas. Perisian yang boleh digunakan oleh kanak-kanak pada peringkat ini adalah yang berbentuk terbuka, yang dapat membantu pengawalan tetikus seperti perisian berbentuk melukis (contohnya Kidpad), ataupun perisian berbentuk menulis seperti Microsoft Word yang menggalakkan mereka mengenal kekunci yang terdapat pada papan kekunci.
Pada peringkat permainan sebab-musabab, kanak-kanak semakin kreatif dan banyak berfikir ketika menggunakan komputer. Misalnya, apabila mereka hidupkan komputer, komputer akan mula dengan mengeluarkan pelbagai bunyi dan lampu, apabila mereka tekan papan kekunci komputer ataupun klik tetikus, sesuatu akan terpapar di skrin monitor. Pada peringkat ini, mereka boleh didedahkan kepada perisian yang dapat membantu mereka mengoperasi program.
Pada peringkat permainan berperaturan, kanak-kanak sudah mahir mengawal fungsi bahagian komputer. Mereka juga dapat mengikut arahan, bertindak balas dan menyesuaikan penggunaan komputer mengikut keperluan perisian. Pada peringkat ini, mereka dapat menggunakan komputer sebagai alat permainan ataupun sumber maklumat. 

No comments:

Post a Comment